ALOR GAJAH 21 Sept. - Ibu bapa dan masyarakat Islam khususnya perlu memainkan peranan menegur anak-anak menjaga tatasusila dan peradaban mereka ketika berada di masjid sesuai dengan imejnya sebagai tempat beribadat bagi masyarakat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Ismail Osman berkata, adalah wajar bagi setiap masyarakat menegur anak-anak yang dirasakan melanggar adab di masjid biarpun mereka hanya kanak-kanak.
Menurutnya, menegur anak- anak ini yang didapati membuat bising atau bermain di dalam masjid sehingga mengganggu jemaah menunaikan ibadat amat digalakkan bagi membolehkan anak-anak memahami konsep peradaban yang perlu dipatuhi apabila berada di masjid.
''Bagaimanapun, apabila kita membuat teguran kepada anak- anak ini, janganlah pula terlalu kasar sehingga mereka menjadi trauma pula untuk ke masjid dan berlanjutan sehingga mereka dewasa kelak.
''Jika perkara ini berlaku, usaha kita untuk menyemarakkan kunjungan generasi muda untuk ke masjid dikhuatiri terbantut pula disebabkan perasaan trauma ini," katanya sewaktu berucap pada majlis pertandingan tilawah al- Quran peringkat daerah Alor Gajah anjuran UMNO Masjid Tanah di sini semalam.
Menurut Ismail, ibu bapa merupakan golongan paling penting dalam memainkan peranan mendidik anak-anak menjaga adab mereka sewaktu berada di masjid.
Ujarnya, golongan bapa yang juga sebagai ketua keluarga perlu memastikan anak-anak menjaga adab masing-masing malah sebelum membawa anak ke masjid, bapa perlu menerangkan kepada mereka tentang perkara yang dilarang ketika berada di masjid.
''Jika kita lihat ada anak-anak ini berlari-lari atau bermain dalam masjid, eloklah ditegur perbuatan mereka itu tetapi biarlah berpada-pada, jangan sampai anak-anak ini menjadi trauma dan takut pula untuk ke masjid," ujarnya.
Ini kerana, kata beliau, bagi membentuk nilai-nilai peribadi yang mulia di kalangan generasi muda, ia perlu dilaksanakan ketika mereka dalam peringkat kanak-kanak agar ia menjadi budaya dan amalan kepada mereka apabila dewasa kelak.
Dari: Utusan Online
No comments:
Post a Comment